Saturday, April 7, 2007

Pertandingan Drama MSSD

Pada minggu yang lalu,sekolah kami telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan drama MSSD yang telah diambil bahagian oleh sebanyak 7 buah sekolah di daerah Petaling Jaya.Kelas saya adalah antara kelas yang bertuah untuk mendapat peluang menyaksi pertandingan drama tersebut.

Suasana di dewan huru-hara, semua pelajar tidak sabar semasa menunggu kedatangan para peserta pertandingan drama. Selepas menunggu selama 20 minit, akhirnya semua peserta sudah sampai dan telah bersedia untuk memulakan pertandingan drama ini. Pengerusi majlis pun memberi sedikit penjelasan tentang pertandingan ini dan menyeru kepada semua pelajar agar berdiam diri supaya tidak mengganggu para pelakon semasa sesi drama dilangsungkan. Pintu-pintu dewan ditutup dan lampu pun dipadamkan. Langsir pentas pun dibuka dan drama pun bermula.

Tema drama pertama adalah berkenaan masalah yang dihadapi oleh 4 pelajar perempuan dan kesannya jika mereka tidak bertanggungjawab. Walaupun tema drama ini amat bermakna tetapi agak membosankan. Saya ternampak beberapa pelajar tertidur dan beberapa lagi pergi berjalan-jalan.

Drama yang seterusnya mendapat sambutan yang lebih baik terutamanya dari pelajar lelaki. Pada pendapat saya, sambutan yang baik ini disebabkan oleh pelakon perempuan yang memainkan watak utama agak cantik. Pelajar lelaki yang “miang” di dalam sekolah kita agak tertarik oleh pelajar perempuan tersebut.

Apabila tiba giliran sekolah kami untuk mempersembahkan drama mereka, semua warga sekolah turut memberi sokongan dengan memberi tepukan yang gemuruh. Watak utama dalam drama tersebut amat berbakat. Dia bukan sahaja menghafal skrip drama yang agak panjang itu tetapi juga memainkan wataknya dengan penuh semangat. Selepas drama habis, semua warga sekolah kami berdiri dan memberi tepukan yang gemurah berulang-ulang kali.

Selepas semua drama habis dipersembahkan, para hakim pun mengambil masa 10 minit untuk berunding kerana hendak memilih siapa yang akan menjadi juara dalam pertandingan tersebut. Pada masa itu, semua pelajar sedang bertukar pendapat tentang drama yang telah disembahkan oleh pelakon-pelakon dan suasana di dewan mula menjadi riuh rendah. Selepas 10 minit berunding, para hakim pun menghebohkan keputusan. Akhirnya juara pertandingan drama ini adalah sekolah kami. Semua pelajar menjerit-jerit kegembiraan serta bertepuk tangan dengan kuat. Kecapaian ini amat membanggakan semua warga sekolah dan pada masa yang sama telah mengharumkan nama sekolah kami.

Pertandingan drama tersebut adalah antara peristiwa yang tidak akan saya lupa selama-lamanya. Semua peserta yang telah mengambil bahagian telah mempersembahkan drama masing-masing dengan penuh semangat dan kegigihan. Ada juga antara drama yang memberi pelajaran dan juga nasihat kepada kita. Saya berasa pertandingan drama itu amat memanfaatkan dan saya berharap saya dapat menyaksi pertandingan drama ini pada tahun depan.